Assalamualaikum WBT..
Alhamdulillah… Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan Semesta Alam kerana dengan
limpah dan kurniaNya, laman blog rasmi Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup (KKHY),
Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (LKAYS) Cawangan Miri akhirnya tertubuh
jua. Selawat dan syukur ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW yang telah
mempersaudarakan kita sehingga saat ini dengan kalimah syahadah yang mulia.
Setelah bertahun usaha pihak kami ingin mewujudkan laman rasmi sebagai
alternatif perhubungan dengan orang awam, akhirnya tanggal 8 Januari 2013M, bersamaan 26 Safar 1434H, blog ini akhirnya tertubuh jua.
Alhamdulillah.
Mungkin ramai yang
tertanya, apa itu Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup (KKHY)? Di mana letaknya?
Apa fungsinya? Dan pelbagai lagi persoalan yang mungkin akan menerjah minda.
Awal permulaan, biarlah kita bercerita tentang sejarah penubuhan KKHY
atau lebih dikenali dengan PERYATIM Miri di kalangan masyarakat tempatan. Jom ikuti kisah kami.........
PERYATIM Miri mula
diwujudkan pada penghujung 2004, di mana pejabat pertama telah ditempatkan di
Pertubuhan Jati Merek, Miri di Jalan Krokop dan pada awal tahun 2005, PERYATIM
Miri telah berpindah ke pejabat dan penempatan baru di Taman Bumiko, Miri.
Selama 4 tahun bermastautin di Taman Bumiko, Miri akhirnya pada bulan Jun 2008,
penghuni serta kakitangan telah berpindah ke penempatan kekal iaitu di Kompleks
Kebajikan Hamidah Yakup (KKHY) yang beralamat di:-
Lot 2930, Blok 6, Kuala
Baram Land District(KBLD) Desa Indah 3, 98107 Miri.
Permulaan pembukaan
KKHY, ramai yang tercari-cari di mana letaknya KKHY kerana kedudukan
yang agak tersembunyi di dalam kawasan perumahan dan masalah ini masih lagi di
alami sehingga ke hari ini. Melihat pada alamatnya, pasti semakin ramai yang
keliru kerana apabila di “search” dalam mana-mana “application” terkini, tiada
jawapan tepat yang akan diberikan. Bagi penduduk tempatan dan kawasan sekitar,
apabila disebut E-Mart Miri dan Shell McD DriveThru, pastilah mereka segera mengetahui kedudukan kedua-dua destinasi
tersebut. Ketahuilah juga bahawasanya KKHY ini terletak di antara kedua-duanya
dan in shaa Allah, pada entry mendatang, admin akan menerangkan selengkapnya
cara atau jalan untuk sampai ke KKHY.
Apa fungsi KKHY? Kami Bertanggungjawab ke atas Kebajikan Anak-Anak
Yatim di Sarawak, terutamanya di Kawasan Zon Utara dalam menyediakan kehidupan dari segi ilmiah dan rohani yang sempurna.
Secara terperinci, admin telah mensertakan secara terperinci fungsi KKHY pada
masa kini di bahagian pendahuluan.
Pelbagai lagi persoalan
yang telah dikemukakan oleh orang awam berkenaan dengan KKHY dan entry
seterusnya, admin akan menyenaraikan persoalan dan jawapan bagi setiap satu
soalan dan andai kata ada kemusykilan, kami di KKHY bersedia menerima sebarang
panggilan atau sebarang alternatif untuk berhubung dari orang awam kepada pihak
kami.
In shaa Allah dengan
wujudnya laman rasmi blog KKHY ini, orang awam khususnya mereka yang ingin
membantu akan dapat maklumat yang secukupnya dari pihak kami.
No comments:
Post a Comment